Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah





Antara sebab-sebab yang mewajibkan mandi wajib adalah:

1) Keluar mani
2) Haid
3) Janabah (bersetubuh)
4) Wiladah (bersalin)
5) Nifas (darah yang mengiringi bersalin)
6) Mati selain mati Syahid


عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.

Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:

ثم أتيته بالمنديل فرده

Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.

Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:

1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.

2) Membaca ‘Bismillah’.

3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.

6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:

ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, dibolehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.

عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين

Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)

10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Wallahu’alam.



Petua Rumahtangga - Wahai Suami, Hargailah Isterimu...

Dulu lain sekarang lain.. Dulu bujang sekarang dah kawin.. terkenang bait-bait lirik lagu nasihat Tan Sri Dato’ SM Salim.
Merujuk kembali kisah pernikahan, perkahwinan zaman sekarang banyak pasangan semasa muda-muda lagi ada yang baru berkahwin dah berpisah, bercerai berai disebabkan oleh kasih sayang antara mereka yang tidak erat. Kenapa?
Jika difikirkan banyak faktor yang menjurus ke arah keruntuhan rumahtangga antaranya kurangnya ilmu serta pengetahuan agama serta keikhlasan dalam menempuh alam perkahwinan itu sendiri.
Begitu juga faktor dalam menjaga hubungan suami dan isteri agar keharmonian rumahtangga terpelihara tidak diambil kisah.
Suami memainkan peranan yang penting sebagai pemimpin dalam memastikan perjalanan dan keperluan kehidupan itu dipenuhi sebaiknya.
Tidak dinafikan ada waktu-waktu suram ketika bersama namun itu tidak patut menjadi halangan kerana ianya membantu mematangkan kehidupan pada masa akan datang.
Buat si suami anda memang raja tetapi berilah penghargaan dan hormatilah isterimu selalu.
Mari kita berkongsi sedikit sebanyak nasihat dari Dato’ Dr Fadhilah Kamsah dalam menghargai isterimu.
01.Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
02.Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri.
Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
03.Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..
04.Jangan demand seks sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.
05.Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
06.Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya.
Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.
07.Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
08.Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik.
Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.
09.Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
10.Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut? Sudah kahwin makin menjadi-jadi pulak ye..
11.Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12.Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga. Cuba perihatin dan buat penilaian sebaiknya.. ingat ada perkara diluar jangkauan dan pemahaman lelaki..
13.Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
14.Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?
15.Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
16.Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
17.Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
18.Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
19.Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.
20.Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai.
Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
21.Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama.Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga.
Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.
22.Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga.Jangan buat apa yang isteri tak suka.
Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
23.Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris.
Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.
Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.
Allah s.w.t. berfirman, “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan”
Renung-renungkan dan selamat beramal ~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...